Cintaku Dalam Diam

“…Saat kau menghampiri diri ku

Ku ingin engkau tahu

Sebenarnya aku diam-diam

Aku jatuh hati pada mu

Ku ingin tahu diam-diam

Aku jatuh hati pada mu

Ku ingin kau tahu..”

Bait-bait lagu Tilu yang kudengar di radio memang kena dengan jiwaku pada malam ini. Lagu itu mengungkapkan perasaan yang sedang aku alami waktu ini. Namun aku tidak mempunyai kekuatan untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hatiku ini padanya. Biarlah masa dan takdir yang menentukannya.

Aku hanya mampu tersenyum dan melihatnya dari jauh. Walaupun kami masing-masing sudah kenal-mengenal antara satu sama lain, tapi itu hanya sekadar perkenalan sebagai teman biasa sahaja. Aku mahukan lebih dari itu. Menjadi permaisuri dalam hatiku dan bidadari di sana nanti. Aku hanya mampu menyandarkan harapan yang tinggi menggunung dan cintaku hanya dalam diam padamu.

Aku takut nanti akan timbul pelbagai fitnah antara kau dan aku nanti, biarlah aku pendam rasa ini sehingga ke saat yang sepatutnya. “Buat masa sekarang lebih baik begini daripada ber’couple’,” fikirku. Aku merenung jauh masa depanku. Masih samar-samar lagi hala tuju. Aku hanya mampu merancang, selebihnya aku serahkan pada yang Maha Kuasa. Dia-lah yang Maha Menentukan.

Mengimbau kembali saat pertama kali aku menjejakkan kakiku ini di kota metropolitan ini, sayu, syahdu mengingatkan pengorbanan ayahanda dan bonda yang telah berpenat lelah untuk memastikan aku dapat menjejakkan kakiku disini. Saat bonda melambaikan tangan dengan segunung harapan agar putera kesayangannya mampu mengubah nasib kami sekeluarga.

Berlinang air mata tatkala melangkah keluar dari rumah pusaka, melangkah memikul harapan dan tanggungjwab yang besar. “Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini, tidak tertanggung beratnya tanggungjawabku ini terhadap kedua ayah dan bondaku. Hanya pada-Mu aku mengharapkan bantuan dan pertolongan. Kau kasihilah kedua ibu bapaku yang telah berkorban harta dan benda untuk membesarkanku sehingga ke tahap ini. Murahkanlah rezeki mereka, dan panjangkanlah umur mereka untuk melihat kejayaan anak mereka ini. Amin.”

Jika sebelum ini, pernah sekali aku datang ke sini bersama dengan teman-teman sewaktu zaman sekolah rendah dahulu, sudah lapan tahun berlalu. Kuala Lumpur hari ini sudah tidak sama dengan apa yang aku lihat lapan tahun yang dahulu. Semua telah banyak berubah. Landskap di sini bila-bila masa sahaja boleh berubah. Aku khuatir aku tidak dapat mengawal diriku, berubah seperti arus perubahan kota metropolitan ini. Bagai lalang yang ditiup angin, sekejap di atas sekejap di bawah.Terumbang ambing dalam arus.

“Semua pelajar diminta berkumpul di dewan tepat jam 2.00 petang, sila bawa bersama fail dan alat tulis yang dibekalkan,” kedengaran suara dari pembesar suara yang meminta kami berkumpul. Minggu suai kenal atau di sini dikenali sebagai Minggu Jalinan Mesra atau MJM . Minggu yang paling ditakuti sebenarnya. Mengikut cerita, di sini memang terkenal dengan budaya ragging. Macam-macam cerita aku dengar sebelum aku masuk ke sini. Aku hanya mampu berdoa dan mengharapkan semua itu tidak berlaku.

Kami diberikan taklimat mengenai perjalanan MJM oleh fasilatator yang terlibat. Panjang lebar. Mengikut taklimat yang diberikan, tujuan MJM diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan bantuan kepada pelajar baru mengenai kehidupan di maktab. Disamping itu juga, MJM diadakan untuk menyelesaikan segala urusan pendaftaran pelajar baru dengan pihak institut.

Aku terpandang akan seorang hamba Allah. “Subhanallah, indahnya ciptaan-Mu tuhan,” hanya itu yang mampu terungkap di bibirku. Sejuk mata memandang apabila melihatnya. Aku rasa, dia pasti menjadi idaman setiap lelaki yang mahukan rumah tangga yang bahagia di dunia dan akhirat. Jauh aku mengelamun.

“ Assalamualaikum, saya Azman. Boleh saya duduk di sini”, tersedar aku dari dunia yang penuh khayalan. “ Wa’laikummussalam, silakan. Saya Hazwan,” jawabku ringkas. Perbualan kami terhenti setakat itu sahaja kerana program hendak bermula. Aku masih memandang akan wajah itu. Entah mengapa, hatiku menjadi tenang apabila melihat wajahnya.

Seminggu telah berlalu, kini bermulalah kehidupan aku sebagai pelajar dan bakal guru di Institut Bahasa Melayu ini. Sememangnya telah menjadi impianku sejak di bangku sekolah lagi untuk berkhidmat kepada anak bangsa sebagai pendidik. Satu taklimat khas akan diberikan oleh Pengarah Institut dan kami akan diberikan kelas masing-masing selepas mengisi borang pendaftaran kursus.

Memandangkan kursus perguruan telah dinaik taraf daripada program diploma kepada ijazah sarjana muda, maka kami dikehendaki memilih jabatan minor untuk mencukupkan syarat graduasi. Borang telah siap aku isi, cuma sedang menunggu Azman yang belum siap mengisi borangnya. Sekali lagi aku terserempak dengannya, segan untuk aku menegurnya. “ Tak apalah, kalau ada jodoh nanti jumpa lagi,” bisik hati kecilku.

Memang benar, jodoh pertemuan ketentuan Tuhan. Kami berada dalam kelas yang sama. Aku dapat rasakan degupan jantungku semakin kencang apabila dia berada di depanku. Kelas pertama kami tamat dengan pengagihan kumpulan untuk membuat tugasan. Kali ini Azman berada dalam satu kumpulan dengannya, dan aku pula berada dalam kumpulan yang berlainan.

“ Wan, aku ada benda nak cerita dengan kau ni,” Azman memulakan bicara. Kebetulan selepas MJM tempoh hari, kami ditempatkan dalam satu bilik. Mudahlah bagi aku kerana Azman merupakan orang pertama yang aku kenal di institut ini. Orangnya mudah mesra dan pandai menarik perhatian orang.

“ Apa cerita kau kali ni, lembu Pak Ali kampung kau terjun parit, kereta sorong sepupu kau enjin dia dah rosak,” perliku. Azman memang selalu buat lawak dengan semua orang yang dia kenal. Kadang-kadang aku buat tak endah dengan lawak dia. Tapi dia bukan jenis orang yang suka ambik hati dengan benda-benda remeh macam tu.

Ish, apa pulak ke situ kau ni. Kali ni aku serius,” jawabnya menyungguh. Melihat akan kesungguhan Azman, aku menghentikan kerjaku seketika untuk melayan ceritanya itu. “Habis tu apa dia?” tanyaku.

Azman bercerita panjang mengenai gadis yang berada dalam satu kumpulan dengannya. Ya! Gadis itu. Aku mengiyakan sahaja apa yang dikatakan Azman. Mungkin gadis itu bukan jodohku. Mungkin dia untuk Azman. Aku terbaca satu status dalam Facebook “Mencintai tidak semestinya memiliki”. Mungkin benar akan kata-kata itu, kerana yang Maha Mengetahui hanyalah Dia Yang Satu. “Wan, aku nak usha la budak tu, dah ada ke belum,” sambung Azman. “ Emm, eloklah tu,” jawabku ringkas.

Seperti biasa, sebelum balik ke bilik, aku singgah ke kantin untuk menikmati makanan tengah hari. Kebetulan, gadis itu berselisih denganku. Senyumannya yang manis itu dilemparkan kepadaku. Di suatu sudut, aku melihat Azman yang kelihatan sugul.

“ Apa hal kau ni Man?,” tegurku. “ Qalesya,” jawabnya dengan rasa kecewa. “Qalesya! Siapa Qalesya tu? Kenapa kena mengena si Qalesya dengan kau sampai kau jadi macam ni?” tanyaku lanjut. “Qalesya, tolak hasrat aku Wan. Aku akan tunggu kau sampai kau terima aku Qalesya.”

*******

Empat tahun sudah berlalu. Pelbagai perkara telah berlaku. Macam-macam ragam sahabat-sahabatku institut yang telah aku lihat. Tahun terakhir aku disini. Segala yang aku impikan sebelum ini akan tercapai dalam masa terdekat ini. Tidak sabar rasanya untuk menjemput kedua ayah dan bonda untuk menyaksikan majlis graduasi puteranya nanti. Aku sangat menantikan saat itu. Itulah yang mereka harapkan sebelum ini.

“Assalamualaikum Wan, jauh kau termenung, teringat awek eh?” teguran Qalesya telah menyedarkan aku dari lamunan. Senyuman Qalesya benar-benar mendamaikan. Menghilangkan resah di jiwa. Ditambah pula dengan lesung pipit di pipinya. Sungguh ayu ciptaan Tuhan ini.

“Wa’alaikummussalam, Eh, Qalesya, Humairah. Tak adalah, Cuma terkenangkan masa mula-mula masuk di institut ni je. Sedar tak sedar kita dah berada di tahun akhir.” Jawabku. Sudah menjadi kebiasaan Qalesya untuk membawa sahabat baiknya Humairah ketika keluar ke mana-mana.

“Em.. Betul jugak erk.. Tinggal beberapa bulan saja lagi. Tak lama lagi En. Hazwan kita ni akan bergelar Cikgu Hazwan la Humairah,” balas Qalesya sambil tertawa. “ Aku je ke yang jadi cikgu, kau pun sama. Sama-samalah kita berdoa agar kita lulus dengan cemerlang nanti. Kau berdua ni nak kemana,”

“ Kami nak ke perpustakaan, nak pulangkan buku, Eh, Wan, aku nak mintak tolong sikit dengan kau ni. Laptop aku ada problem, tak tahu kenapa. Kau tolong tengok boleh tak?,” ujar Qalesya. “ Nanti, kau bagi aku, tengok apa penyakit dengan laptop tu, senget macam tuan dia kot. Hehe..”

“Ish kau ni, nanti aku bagi kau. Oklah, kami gerak dulu,” ujar Qalesya sambil beredar meninggalkanku. Sempat juga dia menoleh kebelakang sambil tersenyum. “Qalesya, aku sanggup buat apa sahaja untuk kau. Aku takut. Aku malu untuk aku luahkan apa yang terbuku dalam hatiku ini pada kau Qalesya. Bagaimana jika aku luahkan, dia menolak cintaku. Apa yang akan terjadi antara aku dan dia selepas itu. Jika dia terima, perhubungan akan menjadi lebih serius. Tiada lagi hubungan mesra, gurau senda dan hilai tawa yang sering kami lakukan. Oh Tuhan, berikanlah aku petunjuk, apa yang harus aku lakukan,” bisik hatiku yang berkecamuk.

Terlalu lama aku memendam rasa ini. Pelbagai perkara bermain di fikiranku. “ Adakah dia sudah berpunya. Jika ya, kenapa pandangannya seolah-olah dia menantikan sesuatu dari aku? Ahh..”

Seperti biasa, pada waktu malam setelah aku menyelesaikan semua tugasan , aku membuka laman sosial popular dekad ini Facebook. Cukup sekadar aku ketahui Qalesya sedang online, lepas rinduku padanya. Aku takut untuk berchatting dengannya. Mungkin dia sedang asyik berchatting dengan kekasihnya atau mungkin juga tidak. Biarlah setakat itu sahaja. Namun, tiada warna hijau di facebook chatnya itu. Dia tidak online malam ini.

Aku membiarkan sahaja akaun facebook aku dalam status online. Bagi aku tiada apa-apa dalam facebook itu selain untuk mengetahui makluman mengenai kuliah dan informasi mengenai institut. Ada baiknya juga facebook ini. Bagi aku yang paling penting adalah bagaimana kita menggunakan dan memanfaatkannya. Memang benar, banyak buruknya jika kita tidak pandai dalam memanfaatkannya. Semua bergantung pada diriku bagaiamana untuk kita menggunakannya.

“ Ai.. kuat facebook nampak, dengan awek ke?” celah Azman sambil menepuk bahuku. “Ish.. kot ye pun bagillah salam. Nasib baik aku tak sakit jantung. Kalau tak mati aku terperanjat dek kau,” balasku. “ Opss, hehe.. Assalamualaikum, apa kau buat tu?” Azman menyambung kembali pertanyaannya.

“ Tak ada apa-apa, aku bukak facebook tengok kalau-kalau ada apa-apa maklumat yang budak-budak ni post. Maklumlah zaman sekarang ni semua facebook.” Jawabku.

“ Ooo.. eh kau ada terserempak dengan Qalesya dan Humairah tak hari ni,?” Sudah lama Azman tidak membangkitkan soal Qalesya. Tiba-tiba hari ini nama Qalesya meniti di bibir Azman hari ini.

“ Kau dengar tak apa yang aku cakap ni Wan?” Azman meninggikan suaranya apabila melihat aku mengelamun di hadapan laptop. “Hah ! Apa kau cakap tadi?” tanyaku kembali.

“Ish kau ni, apalah yang kau menungkan tu. Aku tanya, aku ada jumpa Qalesya dan Humairah tak hari ni?” Azman mengulang pertanyaannya buat kali yang kedua.

Ada pagi tadi. Diaorang nak pergi library tadi. Aku jumpa dekat dengan Pejabat Pengarah. Kenapa? Kau rindukan Qalesya eh.?” Aku cuba menyembunyikan kegusaran dan kegelisahan hatiku di sebalik senyuman yang aku berikan kepada sahabat baikku itu. Di dalam hati ini berbeza dengan apa yang dilafazkan oleh bibir. Dalam hati ini hanya Tuhan sahaja yang tahu.

“Tak adalah, aku ada sesuatu nak bagi Qalesya, kalau tak sekarang pun, mungkin nanti. Tapi aku kena bagi jugak, soal hidup dan masa depan aku,” balas Azman. “ Apa dia?” soal ku kembali. “ Adalah…,” Azman menjawab ringkas soalanku tadi, lalu meninggalkan aku dengan membawa kelengkapan mandinya ke bilik air.

Sedang aku merenung skrin laptopku itu, satu komen menghiasi wall facebook ku itu. “Cikgu Hazwan, bila anda mahu melihat-lihat jantung hati saya itu.” Coret Qalesya. Aku terlupa bahawa, laptop Qalesya ada masalah.

“ Saya terlupa Cikgu Qalesya. Malam esok boleh..? Malam ini saya ada sedikit urusan mahu dibereskan” balasku. “ Baiklah Wan, esok aku tunggu kau kat bawah, sengsara aku laptop rosak neh… Ni pun aku pinjam dengan roommate aku, oklah, esok aku call kau. Salam.” Memang tak pernah panjang perbualan kami, baik menerusi chatting, sms ataupun telefon. Kami hanya bercakap mengenai perkara yang berkenaan sahaja.

Seperti yang dijanjikan, Qalesya menunggu aku di Taman Didik. Di sini merupakan tempat semua pelajar-pelajar institut melepak pada waktu malam. Entah kenapa pada malam ini tiada seorang pun yang melepak di situ. Mungkin memberi peluang kepada aku untuk bersama Qalesya.

“Assalamulaikum.. Kau sorang je ke? Mana Humairah?” sapaku. “Wa’alaikummussalam.. Ada dia pergi koperasi. Kejap lagi datang la tu,” balasnya lembut. “Mana dia laptop kau tu,” Kami tidak banyak bercakap. Dia asyik membelek-belek handphonenya itu. Aku meneruskan kerjaku memeriksa laptopnya.

“Emhh, sikit je ni, tapi esoklah aku bagi kau,” aku memecahkan kesunyian kami berdua. “Esok? Tak boleh online lah aku malam ni, ujar Qalesya dengan suara manjanya. “ Alah.. Esok je pun, bukannya lama,” balasku lanjut. Kelihatan kelibat Humairah menghampiri kami berdua di Taman Didik itu.

“Macam mana Isya, dah ok ke laptop kau?” tanya Humairah dengan termengah-mengah ekoran daripada menaiki tangga dari koperasi itu tadi. “Entah, cikgu kita ni cakap esok baru siap,” balas Qalesya.

“Tak pe la Wan, dah siap nanti kau bagi tahu aku. Kami naik dulu. Apa-apa nanti mesej erk,” Mereka meninggalkan aku sendirian bersama Dell nya itu.

***

Hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi untuk kami menghabiskan hari-hari terakhir di institut ini. Segala borang persediaan untuk posting selepas tamat pengajian telah siap aku isi. Cuma yang tinggal beberapa boring perjanjian dengan kerajaan sahaja. Peperiksaan akhir semester ini juga harus aku habiskan dengan jayanya. Kalau tidak, semua yang aku lakukan ini akan menjadi sia-sia jika aku terpaksa extend pengajian.

Malam itu aku coretkan warkah khas untuk Qalesya. Mungkin ini cara yang terbaik yang harus aku lakukan. Aku malu untuk berdepan dengannya. Takut aku akan dihampakan. Akan aku serahkan warkah buat Qalesya ini pada hari konvokesyen nanti. Semua yang tersirat dalam hatiku ini akan aku persembahkan ke dalam warkah ini. Selepas ini mungkin kami tidak akan bersua lagi. Membawa haluan masing-masing bersama takdir yang telah ditentukan oleh-Nya.

“ Wan, kami bangga dengan kamu. Kamu telah buktikan kesungguhan kamu hari ini. Tahniah Wan,” ucap ibuku. Hari ini merupakan detik yang paling bersejarah untukku. Majlis Konvokesyenku. Memang detik ini yang aku tunggu selama ini. Detik yang aku janjikan untuk membawa kedua ayah dan bondaku ke sini untuk melihat kejayaan anak mereka. Jelas terpancar riak kepuasan dan kegembiraan di wajah mereka.

Sedang aku menghampiri Qalesya, Azman baru sahaja beredar meninggalkannya. Ku lihat suatu bungkusan di tangan Qalesya. Mungkin inilah yang dikatakan oleh Azman tempoh hari. Dia mahu mengotakan kata-katanya mahu memberi sesuatu pada Qalesya. “ Cikgu Qalesya,” sapaku. “Ya saya. Oh.. Cikgu Hazwan rupanya,” balas Qalesya sambil tersenyum. “Mana kedua ibu bapa kau,” tanyaku. “Mereka tak dapat datang. Nenek aku sakit kat rumah tu. Lagi pun dekat je kan,”jelasnya. “Oh.. Aku bersimpati degan kau. Jom aku perkenalkan dengan mak dan ayah aku,” ajakku.

“Mak, ayah, ini Qalesya, kawan Wan,” perkenalku kepada ayah dan ibuku. “Apa khabar mak cik, pak cik,” sambung Qalesya. “Eh, Wan kau ajak la Qalesya dan mak ayah dia datang rumah pak cik kau malam ni, pak cik kau tu beria benar nak buat kenduri untuk kau,” ujar ibuku. “Aah, betul tu Wan, ajak kawan-kawan kamu yang lain jugak,” sambung ayahku.

“Tak apalah pak cik, mak cik,mak dan ayah saya tak dapat datang hari ni, nenek kat rumah tu tak sihat. Saya terpaksa balik dahulu, mak bimbang dengan kesihatan nenek tu, itulah sebabnya saya seorang sahaja datang hari ni” balas Qalesya dengan penuh lemah-lembut. “ Saya minta diri dulu ye pak cik, mak cik,” sambungnya.

Aku dan Qalesya pergi ke satu sudut meninggalkan kedua ibu bapaku, “ Isya, aku ada sesuatu nak bagi engakau,” ujarku. “ Apa dia, hehehe, mesti hadiahkan, sorry la wan aku tak sempat nak beli apa-apa untuk kau. Kau tahukan nenek aku sakit sebelum ni,” ujar Qalesya bersungguh-sungguh ingin mengetahui hadiahnya itu. “Tak pe lah Isya. Aku tak harapkan balasan harta benda pun. Tapi aku ada satu syarat sebelum aku serahkan pada kau. Kau kena bukak hadiah ni bila kau sampai di rumah nanti. Janji !” sambungku. “Baiklah,” Qalesya aku dengan syaratku. Aku serahkan bungkusan berwarna biru laut yang sememangnya menjadi kesukaannya.

****

Malam itu, setelah memberikan ubat kepada neneknya. Qalesya membelek-belek hadiah yang diterimanya hari ini. Pelbagai jenis hadiah berada dalam bilik tidurnya. Tidak kurang juga bunga-bunga dan kad ucapan yang diterimanya sebelum majlis konvo itu lagi. Kelihatan sebuah bungkusan merah yang diberikan Azman pagi tadi.

“Alamak! Untuk Humairah ni,” Qalesya bergegas meluru keluar dari biliknya mencapai telefon di ruang amu rumahnya itu. “ Tet.. tet.. tet.. Hello Irah kau kat KL lagi kan,” ujar Qalesya tercunggap-cungap. “ Aaah.. Kenapa,” balas Humairah. “ Nasib baik, Azman ada bagi sesutu kat kau. Dia cakap malu nak berdepan dengan kau,” sambung Qalesya. “Owh, apa dia, aku kat restoren ni, nanti aku pergi rumah kau,” ujar Humairahh. “ Aku tak tau, ok aku tunggu kau,” Qalesya meletakkan ganggang telefon. Hilang resahnya. “ Nasib baik, kalau tidak, tak tahulah apa aku nak cakap dengan Azman nanti,” bisik hatinya.

Sedang menunggu Humairah, Qalesya terlelap di atas sofa buatan Jerman yang baru dibeli oleh ayahnya bulan lepas. Keletihan selepas seharian melayan rakan-rakannya. “Assalamualaikum, Isya… Isya.,.” kedengaran suara memanggil Qalesya.

Qalesya bangkit dalam keadaan mamai. “ Waalaikumussalam. Kejap?” Qalesya membuka pintu rumahnya. Humairah menunggu di hadapan pagar rumahnya itu. “Owh Humairah. Masuklah dulu,” pelawanya. “ Tak apalah Qalesya, dah lewat malam ni, mana hadiah tu,” ujar Humairah. “Emm, ni dia. Aku tak tahu apa bendanya. Berat jugak tu, emas kot, hehe..” ujar Qalesya. “Ish kau ni, mamai pun boleh lagi buat lawak,” seloroh Humairah. “Oklah, aku balik dulu, maaf ganggu kau, nanti ada masa aku datang lagi,” sambung Humairah. “Oklah, baik-baik jalan,” pesan Qalesya kepada sahabat baiknya itu.

Setelah mengunci pintu. Qalesya menuju ke biliknya untuk menyambung tidurnya. Namun isi hatinya pula memberontak mahu mengetahui apakah isi hadiah yang diberikan Hazwan tadi. Qalesya menggagahkan matanya untuk membuka bungkusan berwarna biru laut itu. Warna kesukaannya.

Perlahan-lahan Qalesya mengangkat sebuah bebola Kristal yang di dalamnya terdapat dua ekor Swan. Sungguh cantik apabila digoncangkan. Swan itu aku berputar-putar mengalunkan irama muzik yang sungguh indah. Namun bukan sekadar itu sahaja. Di sebalik swan itu terdapat helaian kertas yang berwarna biru.

Assalamualaikum…

Kehadapan sahabatku Qalesya. Di saat ini mungkin aku sudahpun pulang ke kampung halamanku bersama orang tuaku. Aku harapkan kehadiran warkahku ini tidak menganggu dirimu dan hidupmu.

Sesungguhnya lima tahun kita di institut merupakan satu pengalaman terindah yang tidak dapat kita beli dengan wang ringgit. Lima tahun yang sukar untuk digantikan. Lima tahun yang tidak akan kembali lagi selepas ini.

Aku mengharapkan agar aku dapat mengundurkan masa agar pengalaman terindah kita bersama akan terus dan sentiasa berada dalam genggaman kita. Akan tetapi, kita hanya manusia biasa, tidak berupaya mahu mengubah ketentuan-Nya. Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segalanya.

Qalesya, sejak hari pertama aku melihat dirimu semasa Minggu Jalinan Mesra, hati ini berkobar-kobar ingin berkenalan denganmu. Waktu itu, aku ingatkan kita tidak akan bertemu lagi, namun seprti yang aku katakana tadi, semuanya ketentuan Tuhan. Kita dipertemukan dalam satu kelas yang sama.

Mungkin pada awalnya, kau lebih suka bersendiri. Aku pula malu untuk menegur dirimu walau hatiku mahu berbuat demikian. Aku tidak punyai kekuatan untuk berhadapan denganmu. Kini, setelah lima tahun berlalu, kaulah sahabatku yang akan aku ingati sampai bila-bila.

Qalesya, aku tahu bukan jodoh kita untuk bersama. Walau hatiku ini mahu menjadikan kau lebih daripada seorang sahabat, namun aku tahu hatimu telah pun dimiliki selama ini. Sungguh bertuah lelaki itu.

Aku tahu Azman juga ada menrauh hati padamu. Namun aku tetap gagahi juga jari jemariku untuk menulis warkah ini padamu. Aku memandam perasaanku. Tetap menyukaimu dan mencintaimu dalam diam.

Maafkan aku kerana tidak dapat berdepan denganmu. Maafkan keran malu untuk berdepan denganmu. Maafkan aku kerana takut untuk menghadapi kenyataan. Maafkan aku Qalesya.

Mungkin selepas hari ini, kita tidak akan berjumpa lagi seperti sedia kala. Aku dengan haluanku. Engkau dengan haluan kau. Semua yang akan berlaku terserah pada takdir. Jika jodoh dan persahabatan kita masih panjang, kita akan bertemu lagi.

Qalesya, sebelum aku mengundurkan diri. Aku harap kau kenang persahabatan kita selama lima tahun ini. Seribu kemaafan aku pohon daripadamu di atas segala kekhilafan yang telah aku lakukan sepanjang persahabatan kita ini. Cuma satu yang aku ingin kau tahu. Aku mencintaimu dalam diam selama ini.

Sebelum pena ini berhenti, ingin aku kongsikan puisi yang aku ciptakan khas buatmu Qalesya..

Pertama kali ku melihat dirimu aku terpaut

Tika itu, masih lagi dalam suasana ta’ruf

Tapi tidak berkesempatan untuk bersua

Bertanyakan nama

Ku memandangmu dari jauh

Tingkahmu ku perhatikan

Senyummu, tawamu,

Mengubat hatiku ini yang duka

Tika ku terkenang ayah dan bonda tercinta

Ku ingatkan kita takkan bersua lagi

Walau kita di bawah satu bumbung

Ku masih tidak mnegenalimu

Ku malu tapi ku mahu

Ku mahu tapi ku malu

Cintaku di dalam diam

Hanya gambaran potretmu di mindaku

Anganku bersamamu

Tidak di dunia, akhirat menanti

Menghias Firdausi yang kekal abadi

Cintaku dalam diam

Tidak ku tahu tentang dirimu

Masihkah lagi bersendiri

Aku takut akan realiti

Menghadapi kenyataan ini

Cintaku dalam diam

Walau kita bersua

Hanya sekadar teman biasa

Tetapi mesra

Ku rasakan kedamaian

Tika bersamu

Kaulah penyejukku

Kaulah penyeri

Dengan impian melayar bahtera

Harapan untuk bahagia dunia dan akhirat sana

Bersama mengharungi onak dan noda

Bersama berpimpin tangan

Menuju bahagia yang hakiki

Disana nanti

Kaulah cintaku dalam diam…

Terima kasih kerana sudi meluangkan masamu. Terima kasih kerana mengotakan janjimu. Terima kasih di atas keikhlasan persahabatan kita selama ini. Terima kasih Qalesya. Dalam diam aku mencintaimu.

sHazwan..

P/s: thanks kepada penulis. Nama penulis dirahsiakan atas permintaan beliau. =)

0 comments:

Post a Comment

Islamic Calendar

bloguez.com

ilham untuk semua

selamat datang dan selamat membaca. blog ni di wujudkan khas bagi memaparkan karya karya seperti cerpen dan puisi. bagi yang berminat untuk berkongsi ilham disini, bolehla menghubungi saya di alamat email elfhyunie@gmail.com .. *utk tjuan suka suki shja. utk share idea dan pendapat bg mmperbaiki skill penulisan. no royalty.. hehehe*kredit kepada penulis akan ditulis lengkap (ats permintaan dan keizinan)..

biar pena bicara

My photo
wpL.wpKL. ilham buat semua..

~listen to my heart~

Followers

..maietah bekurapak..

*neenooneenoo*

by tiney ahmad... Powered by Blogger.